Soalan Lazim
Image
Peta Laman
Carian

Carian

Soalan Lazim
Image
Image
Image

NFCC sokong cadangan PDRM wujud perjawatan tetap bagi perkasa NSRC

 
PUTRAJAYA: Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) menyokong cadangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung 139 perjawatan tetap bagi memperkasakan peranan serta fungsi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).
 
Ketua Pengarah NFCC Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata pelbagai usaha sedang giat dijalankan bersama agensi lain termasuk PDRM, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi menstruktur semula NSRC termasuk penyediaan pusat operasi baharu yang akan ditempatkan di Cyberjaya.
 
"Pihak NFCC ingin mengingatkan orang awam agar berwaspada dengan panggilan yang mengatakan daripada pihak NSRC atau NFCC. NSRC atau NFCC tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu untuk mendapatkan maklumat peribadi atau perbankan individu berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Beliau berkata NFCC turut menggesa orang awam atau mangsa yang terlibat untuk segera menghubungi talian pantas NSRC iaitu 997 untuk melaporkan insiden jenayah penipuan kewangan dalam talian serta mendapatkan nasihat.
 
Ditubuhkan pada Oktober 2022, NSRC merupakan pusat panggilan respons pantas serta pusat operasi penyelaras dalam membanteras jenayah penipuan kewangan dalam talian dengan kepakaran menjejak wang yang telah dipindahkan antaranya melalui kegiatan penyamaran sebagai pegawai NSRC atau NFCC bagi tujuan memperdaya mangsa.
 
Pada 19 Mac lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dilapor berkata usaha untuk memperkemas struktur NSRC sedang giat dijalankan termasuk mewujudkan sejumlah perjawatan tetap bagi membolehkan pengoperasian NSRC dilaksanakan secara lebih efektif.
 
Beliau berkata melalui penstrukturan baharu kelak, PDRM akan mengetuai operasi NSRC dengan dikawal selia oleh Kementerian Dalam Negeri.
 
- BERNAMA
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata daripada jumlah itu, 14 daripada 15 mangsa dari Sabah berjaya diselamatkan manakala seorang lagi masih terkandas di luar negara. - Gambar fail/BERNAMA
PDRM terima 482 laporan sindiket "job scam" libatkan 628 rakyat Malaysia

PDRM terima 482 laporan sindiket "job scam" libatkan 628 rakyat Malaysia

 
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima 482 laporan setakat 17 Jan lepas membabitkan sebanyak 628 warganegara Malaysia yang menjadi mangsa berkaitan sindiket penipuan tawaran pekerjaan atau job scam.
 
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata daripada jumlah itu, 14 daripada 15 mangsa dari Sabah berjaya diselamatkan manakala seorang lagi masih terkandas di luar negara.
 
Beliau berkata pihaknya telah melaksanakan langkah-langkah komprehensif termasuk meningkatkan kerjasama antara agensi penguatkuasaan pada peringkat domestik dan antarabangsa.
 
"PDRM turut melaksanakan perkongsian maklumat risikan dan data tentang rangkaian sindiket penyeludupan migran dan pemerdagangan orang bersama-sama Organisasi Polis Antarabangsa (Interpol) dan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) bagi tujuan analisis trend dan strategi intervensi penguatkuasaan," katanya pada sesi Kamar Khas di Bangunan Parlimen hari ini.
 
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) mengenai isu pemerdagangan manusia menerusi sindiket penipuan tawaran pekerjaan.
 
Shamsul Anuar berkata PDRM juga komited menangani sindiket jenayah penipuan pekerjaan di luar negara dan memastikan maklumat tepat diperoleh masyarakat pedalaman menerusi sesi libat urus bersama Kemboja, Thailand, Myanmar dan Laos untuk tujuan perkongsian maklumat dan penyelarasan misi menyelamatkan mangsa.
 
Selain itu, beliau berkata agensi di bawah Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO), seperti Kementerian Komunikasi serta Kementerian Belia dan Sukan sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memberi kesedaran kepada orang awam khususnya golongan muda berhubung jenayah itu.
 
"Antara program komunikasi yang dilaksanakan pada 2024 ialah audio siar, infografik di platform media sosial, sesi bual bicara, pertandingan video pendek Youth Preventing Human Trafficking and Migrant Smuggling, cetakan visual hebahan pada badan bas, Program JIWA Komuniti MADANI untuk Ahli-Ahli Parlimen dan cetakan risalah," katanya.
 
Beliau berkata pihaknya melalui MAPO juga telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) bagi kerjasama penganjuran kempen kesedaran melalui pembukaan reruai pameran dan skrin paparan digital yang terdapat di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2. - BERNAMA

Kerugian akibat scam berjumlah RM203 juta setakat Mei lalu

KUALA LUMPUR: Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) telah menerima sebanyak 37,002 panggilan mangsa scam (penipuan) dengan jumlah kerugian yang dilaporkan sebanyak RM203.33 juta setakat Mei 2024.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata sejak penubuhannya pada 12 Oktober 2022 sehingga Mei 2024, jumlah keseluruhan panggilan yang diterima daripada orang ramai ialah sebanyak 95,094.

“Kertas siasatan yang dibuka oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebanyak 10,649 bagi kes kesalahan penipuan di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Sebanyak 74 kertas siasatan bagi kesalahan pengubahan wang haram telah dibuka melibatkan pembekuan 637 akaun yang berjumlah RM72.38 juta,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, hari ini.

Beliau menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) yang ingin tahu sejauh mana keberkesanan NSRC dalam menangani jenayah penipuan dalam talian dan mengesan modus operandi ‘scammer’.
Tambahnya, NSRC dan SKMM juga telah mengambil tindakan sekatan nombor telefon yang digunakan oleh scammers.

Setakat Mei 2024, sebanyak 131 nombor talian telah ditamatkan kerana terlibat dengan aktiviti penipuan dan 112 nombor talian yang meragukan telah disekat. – BERNAMA

Ditipu tiga syarikat pelaburan, mangsa lapor NFCC

PUTRAJAYA: Kira-kira 500 mangsa penipuan tampil membuat aduan dan laporan kepada Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC) hari ini, selepas mendakwa tiada tindakan diambil pihak berkuasa ke atas tiga syarikat pelaburan.

Kumpulan yang dibawa oleh Pertubuhan Kemanusiaan Malaysia (MHO) itu mahu siasatan segera dilakukan bagi membolehkan syarikat berkenaan dikenakan tindakan undang-undang.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, berkata mangsa sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya, ketiga-tiga syarikat terbabit dikatakan belum dikenakan tindakan selain mendakwa ada beberapa kes membabitkan mangsa dikategori sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA).

"Bulan lalu, mangsa dimaklumkan oleh SSM aduan dibuat sudah dilengkapkan dan kertas siasatan dihantar kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

"Bagaimanapun, sehingga hari ini, belum ada pendakwaan dibuat ke atas syarikat berkenaan," katanya di sini, hari ini.

Hishammuddin berkata, kes penipuan terbabit berlarutan sejak 2021 dan selain kehilangan wang pelaburan, ada mangsa menanggung hutang kerana meminjam wang untuk melabur.

Katanya, mangsa hanya mahukan keadilan dan siasatan perlu dilakukan ke atas syarikat pelaburan yang mendalangi skim penipuan.

Seorang mangsa berusia 50-an yang enggan dikenali mendakwa kerugian RM150,000 selepas terpengaruh melabur dengan syarikat berkenaan.

"Sudah banyak kali saya bersama mangsa lain membuat laporan dan aduan, namun belum ada tindakan dikenakan ke atas syarikat terbabit.

"Saya melabur sebab syarikat ini dilihat mengikut prosedur, malah mereka berdaftar dengan SSM dan sebagainya," katanya.

Seorang lagi mangsa mendakwa kerugian hampir RM20,000 selepas melabur dengan syarikat yang diperkenalkan melalui ejen pelaburan.

Lelaki berusia 57 tahun itu terpengaruh dengan skim pelaburan terbabit selepas diyakinkan ia berkonsepkan boleh tebus Islamik.

"Saya sempat menerima pulangan keuntungan RM500 setiap bulan selama setahun. Selepas kontrak pelaburan tamat, saya minta tebus semula dan tidak mahu menyambung kontrak.

"Syarikat dakwa dah tebus semula pelaburan saya tetapi tak pulangkan duit pelaburan sehingga kini. Apabila saya hubungi syarikat, pelbagai alasan diberi termasuk meminta saya bersabar," katanya.

 

Sumber: Berita Harian

HUBUNGI KAMI

Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) 
Aras 5 & 6, Blok 1 Menara Seri Wilayah
Jalan P2a Presint 2 62100
Putrajaya

Emel: nfcc@jpm.gov.my

Telefon: (03) 8861 3830

TARIKH KEMASKINI

  • Tarikh Kemaskini: Isnin 26 Mei 2025, 10:04:09.

PAUTAN LUAR

STATISTIK PELAWAT

147739
Today: 172