Johor Bahru, 26 November – Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dengan julung kalinya menjalinkan kolaborasi bersama pihak Universiti dengan penubuhan Makmal Satelit Anti-Jenayah Kewangan (AFC Lab) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menjadikan UTM sebagai universiti pertama di Malaysia yang mengambil langkah proaktif ini.
Majlis perasmian yang berlangsung di Fakulti Komputeran, UTM Johor Bahru telah dirasmikan oleh Naib Canselor UTM, YBhg. Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail bersama Timbalan Ketua Pengarah NFCC, YBrs. Tuan Ahmad Sazilee bin Abdul Khairi.
YBrs. Tuan Ahmad Sazilee bin Abdul Khairi menegaskan bahawa penubuhan AFC Lab adalah langkah strategik yang memodenkan pendekatan pencegahan jenayah kewangan di era digital.
“Kerjasama dengan UTM ini merupakan pencapaian penting bagi NFCC dalam memperkukuh sistem penyelidikan, penyiasatan, dan penguatkuasaan melalui integrasi teknologi analitik dan kecerdasan buatan (AI). Dengan AFC Lab, kita mencipta masa depan yang lebih kukuh dan berdaya tahan dalam menangani jenayah kewangan,” kata Timbalan Ketua Pengarah NFCC.
Makmal ini berfungsi sebagai pusat penyelidikan inovatif dengan fokus pada analitik data jenayah kewangan iaitu untuk memahami corak dan tren jenayah kewangan secara mendalam. Selain itu, penggunaan teknologi analitik lanjutan yang akan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang. Akhir sekali, pembangunan alat bersepadu berasaskan AI yang dapat membantu penyiasat mengenal pasti elemen kesalahan dengan lebih tepat.
YBrs. Tuan Ahmad Sazilee turut menyatakan bahawa makmal ini menjadi sokongan penting kepada para penyiasat kewangan dan pendakwa raya dalam memerangi jenayah kewangan yang semakin kompleks.
“NFCC memerlukan sistem sokongan untuk memudahkan tugas penyiasatan, termasuk penghasilan laporan tren jenayah kewangan, pembangunan strategi pencegahan yang lebih baik, serta penyediaan latihan dan peningkatan kompetensi untuk pegawai penyiasat.”
Salah satu inisiatif utama dalam kerjasama ini adalah pembangunan Program Penyiasat Kewangan Bertauliah (Certified Financial Investigator Programme, CFIP) secara maya. Program ini mempermudah pegawai penyiasat dan Timbalan Pendakwa Raya mengikuti modul kompetensi secara dalam talian.
CFIP yang dimulakan oleh Bank Negara Malaysia sejak 2007 kini telah melalui transformasi kolaborasi bersama UTM bagi memastikan program ini relevan dan mudah diakses oleh pegawai penyiasat di seluruh negara.
Majlis perasmian turut dihadiri oleh YDH CP Datuk M Kumar A/L S. Muthuvelu, Ketua Polis Johor, YBhg. Dato’ TPj Haji Azmi Haji Alias, Pengarah SPRM Johor, YBrs. Abdul Ghafar Ab Latif., Pengarah Pendakwaan Negeri Johor, YBrs. Norzehan Abd Karim, Pengurus Pejabat Bank Negara Malaysia Johor, delegasi NFCC, serta agensi penguatkuasa negeri dan wakil UTM.
Dengan kolaborasi ini, NFCC yakin bahawa penubuhan AFC Lab di UTM akan memperkukuh ekosistem pencegahan jenayah kewangan negara, seiring dengan cabaran era digital yang semakin kompleks.