PUTRAJAYA, 4 Mei 2026 - Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) telah mengadakan Majlis Konvokesyen Certified Financial Investigator Program (CFIP) Tahun 2025 di Dewan Serbaguna, Aras 1, Menara Seri Wilayah. Majlis ini telah dihadiri oleh seramai 116 para graduan terdiri dari pelbagai agensi dan jabatan penguat kuasa dan dilengkapi dengan ucapan perasmian YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa graduan ini merupakan benteng hadapan negara yang memikul amanah besar dalam mendepani ancaman jenayah kewangan yang semakin tersusun dan merentas sempadan. Program pensijilan strategik ini, yang terjalin melalui kerjasama antara NFCC dan UTM, merupakan manifestasi aspirasi Malaysia MADANI untuk melahirkan tenaga kerja yang berintegriti dan kompeten di peringkat global.
Beliau turut menyentuh aspek keselamatan ekonomi negara, termasuk keberkesanan inisiatif Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam mendepani krisis tenaga global yang telah berjaya menjimatkan subsidi petrol sebanyak RM1.9 juta dalam tempoh pelaksanaan yang ditetapkan. Keupayaan penyiasat CFIP ini amat kritikal dalam memastikan hasil negara tidak tiris akibat aktiviti penipuan dalam talian yang mencatatkan kerugian RM2.9 bilion pada tahun lalu.
Syabas kepada para graduan atas dedikasi dalam mengangkat martabat perkhidmatan awam demi membina Malaysia yang lebih selamat dan berdaya saing.