
GEORGE TOWN: Guru wanita ‘berputih mata’ diperdaya sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai polis dengan nilai kerugian RM890,000.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, maklumat diterima daripada mangsa berusia 59 tahun yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, semalam.
Katanya, mangsa sebelum itu dihubungi lelaki yang tidak dikenali dan mendakwa sebagai wakil sebuah bank.
“Suspek mengatakan berlaku penyalahgunaan kad kredit atas nama mangsa, namun wanita berkenaan menafikan memiliki kad kredit itu.
“Panggilan mangsa kemudian disambung kepada individu yang mengaku sebagai pegawai polis di Balai Polis Johor.
“Pegawai polis itu mendakwa kononnya mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram dan meminta mangsa menyerahkan semua wang miliknya bagi tujuan audit,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.
Mengulas lanjut Mohd Alwi berkata, suspek juga mengatakan wang itu akan dipulangkan selepas siasatan selesai dan mangsa juga diugut bahawa waran tangkap dikeluarkan, sekiranya gagal berbuat demikian.
Takut dengan ugutan itu, mangsa melakukan 27 transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke 23 akaun bank berbeza, berjumlah RM890,000, sejak 19 hingga 5 Jun lalu.
“Mangsa menyedari tertipu selepas menceritakan perkara itu kepada rakan yang memaklumkan bahawa ia taktik penipuan.
“Mangsa membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya lagi.
Sehubungan itu Mohd Alwi mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan panggilan telefon mencurigakan khususnya yang meminta maklumat peribadi atau butiran perbankan.